Search This Blog

banner

I made this widget at MyFlashFetish.com.

address

Jul 29, 2012

Transformasi Sistem Pendidikan Khas Golongan OKU

Semua rakyat Malaysia kini dihamparkan dengan ledakan transformasi.  Bermula
dengan sistem pentadbiran negara, sistem ekonomi hinggalah kepada sistem
pendidikan negara.
Akronim NKRA dan KPI menjadi pegangan setiap kementerian.
Ini selaras dengan kepimpinan baru negara yang ingin melihat satu perubahan
dalam segala aspek pembangunan negara dalam usaha mencapai hasrat, misi dan visi
wawasan 2020.  Di samping usaha transformasi ekonomi,  sistem pendidikan negara
juga akan berlaku tansformasi yang menyeluruh.
 
Transformasi Pendidikan Kebangsaan
Semua pihak yang terlibat dengan pendidikan negara mungkin masih ingat amanat
yang telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran sempena sambutan Hari
Kemerdekaan yang ke 53, yang bersabit dengan transformasi pendidikan.
Perkembangan pendidikan negara di bawah kepimpinan kini telah mula menunjukkan
beberapa perubahan yang drastik.  Kolabrasi antara matlamat dan halatuju
pendidikan antara kepimpinan yang lepas dengan yang terkini juga adalah jelas.
Mungkin corak dan pendekatan aplikasinya sedikit berbeza disebabkan perbezaan
dari segi idea dan pengalaman serta latar belakang pemimpin.  Namun matlamat dan
hala tujunya tetap sama, iaitu untuk membangunkan modal insan dan membina negara
bangsa.  Kejayaan dan kemajuan sesebuah negara adalah terletak di tangan bangsa
dan modal insan melalui keluhuran pelaksanaan sistem pendidikan negara.
Lahirnya seorang guru, doktor, jurutera, bidan, pencari fail,dan tukang kebun
adalah daripada sistem pendidikan negara.  Tapi wujudnya penagih dadah,
pembunuh, perogol bersiri, perempit, pencopet dan perompak adalah hasil daripada
kecelaruan sistem sosial sesuatu bangsa yang terdidik daripada pendakyah sosial
yang sentiasa mencari jalan untuk memusnahkan kehidupan rakyat dan keharmonian
negara.
Walaupun Malaysia berada di dalam kekangan ekonomi kesan daripada resesi ekonomi
global, namun sistem pendidikan tetap akan berjalan.  Kajian, pembangunan dan
pelaksanaan sistem pendidikan tetap berterusan sejajar dengan keperluan
persekitaran semasa.  Di tahun-tahun 2007 hingga ke tahun 2010, di mana-mana
pelusuk dalam negara kita akan didendangkan dengan lagu tranformasi.
Tranformasi pendidikan melibatkan keseluruhan sistem pendidikan di negara kita,
bermula daripada pendidikan Awal Kanak-kanak hingga ke peringkat universiti.
Malah telah menjadi NKRA Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha melaksanakan
beberapa perubahan dalam sistem pendidikan.  Antara yang jelas adalah dengan
perubahan Program Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
kepada Program Memertabat Bahasa Melayu dan Meningkatkan Bahasa Inggeris
(MBMMBI), Literasi dan Numerasi (LINUS) mengambil tempat Kemahiran Individu Asas
Membaca dan Mengira (KIA2M) dan perluasan Program Pendidikan Prasekolah.
Perkara yang menjadi teras utama dalam sistem pendidikan negara  apabila
berlakunya transformasi adalah perubahan dalam Kurikulum Pendidikan Kebangsaan.
Kurikulum merupakan nadi dalam sistem pendidikan yang akan mencorak keseluruhan
sistem pengurusan, pentadbiran dan pembangunan negara kita.  Sebab itu setiap
kali berlaku perubahan dalam sistem pendidikan dan dasar pendidikan negara,
semua pihak akan terlibat sama dalam merangka kurikulum, agar tidak berlaku
unsur-unsur ketidakadilan dan double standard terhadap kehendak pelbagai kaum di
negara ini.  Ini jelas bila YAB Perdana Menteri memperkenalkan Konsep Gagasan
Satu Malaysia.  Dengan tercetusnya idea Gagasan Satu Malaysia, lantas
Kementerian Pealajaran Malaysia  bergerak dengan mewujudkan jawatankuasa meja
bulat, yang terdiri daripada cendikiawan, pemegang amanah dan badan-badan bukan
kerajaan, bagi menentukan bentuk dan dasar pendidikan yang bagaimana akan
dibangunkan bagi memenuhi keperluan Gagasan Satu Malaysia.  Pegawai-pegawai di
Kementerian Pelajaran Malaysia akan menjana idea dan pemikiran untuk merangka
dasar pendidikan kebangsaan selaras dengan keputusan yang telah diambil oleh
jawatankuasa meja bulat.  Sebab itu, Kementerian Pelajaran Malaysia amat
berhati-hati di dalam memilih dan melantik pegawai untuk bertugas di Kementerian
Pelajaran, agar KPM tidak ketandusan kepakaran yang mampu menjana fikiran untuk
membangunkan dasar pendidikan kebangsaan bagi memenuhi keperluan dan aspirasi
rakyat dan negara.  Mereka adalah kalangan pendidik yang kreatif, kritis dan
inovatif dalam menghasilkan buah fikiran untuk melaksanakan tanggung jawab
sebagai penggubal dasar pendidikan kebangsaan.  Individu yang ingin menanam
hasrat untuk menunjukkan kuasa sebagai fungsi Pegawai Kementerian bukan
tempatnya berkhidmat di Kementerian Pelajaran, khususnya dalam bidang pengurusan
dasar dan pembangunan kurikulum. Pegawai-pegawai yang terpilih seharusnya boleh
bekerja secara kolektif dan kolaboratif dalam menjana pengetahuan dan pengalaman
untuk pendidikan negara. Setiap pegawai seharusnya mempunyai etika dan
intergriti yang tinggi.  Ini kerana setiap amanah yang dipertanggung jawabkan
melibatkan jutaan ringgit wang negara dalam melaksanakan apa sahaja bentuk usaha
untuk pendidikan negara.  Tidak menghairankan kalau kita melihat seorang
Pengarah dan Timbalan Pengarah Kurikulum masuk ke pejabat seawal 7.00 pagi dan
balik selewat 7.00 malam.  Bersama-sama melaksanakan tanggung jawab yang
diamanahkan dengan pegawai-pegawai bawahan.  Namun begitu masih ada segelintir
pegawai yang burnt-out yang dilantik menjadi Ketua Sektor atau Ketua Unit yang
hadir 7.30 pagi dan balik 4.00 petang dengan mengambil masa 30 minit di akhir
untuk ke tandas dan berjalan ke mesin pengetap waktu.  Malah ada yang
menggunakan etika kerja yahudi Law no. 1, Boss is always right.  Berlagak
sebagai boss. Mengerah tenaga pegawai bawahan dengan ugutan Nilai Prestasi
Tahunan di tangan saya.  Inilah penyebab utama ada pegawai-pegawai kementerian
yang tertekan , diserang penyakit darah tinggi dan angin ahmar.  Bukan kerana
dik tekanan kerja tetapi disebabkan kerenah pegawai atasan yang tidak mempunyai
hati perut, etika dan integriti perkhidmatan.
Melaksanakan Amanah Negara
Apabila disarankan sesuatu perubahan dalam sistem pendidikan negara,
pegawai-pegawai KPM, JPN, PPD dan guru-guru yang komited tidak lekang tangan dan
masa bekerja siang dan malam demi untuk memenuhi aspirasi kementerian pelajaran
dan negara.  Setiap perancangan pendidikan negara dirangka dalam satu pelan
perancangan seperti Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Dalam
pelan induk pendidikan negara, akan disarankan beberapa teras yang harus dicapai
selaras dengan kehendak dan aspirasi rakyat, pemimpin dan negara. Setiap pegawai
kementerian pelajaran akan diberi peranan dalam menjana fikiran untuk merangka
pembangunan Dasar Pendidikan, merangka Kurikulum, menyediakan modul Pengajaran
dan pembelajaran, menyediakan buku teks, merancang pembangunan infrastruktur dan
peralatan, merangka latihan pedagogi dan merangka sistem pentaksiran dan
penilaian.
Dalam usaha merangka perancangan pembangunan pendidikan negara, matlamat dan
halatuju akan merujuk ke arah usaha membangunkan modal insan bagi membina negara
bangsa.  Sekiranya di akhir putaran perancangan sistem pendidikan tidak mencapai
teras-teras utama yang telah dirangka, ini akan memberi gambaran bahawa
keseluruhan sistem pendidikan gagal mencapai matlamat.
Sehingga saat ini, sistem pendidikan di Malaysia masih lagi berada di persada
dunia sebagai negara yang mempunyai kurikulum dan pelaksanaan sistem pendidikan
yang membanggakan.  Kesan terhadap kejayaan itu, maka terdapat pemimpin
pendidikan dari Malaysia yang telah diberi kepercayaan menduduki kerusi jawatan
kuasa dalam organisasi di peringkat anatarabangsa seperti  UNESCO dan UNICEF.
Dalam usaha merangka perancangan sistem pendidikan negara, sebagaimana termaktub
di dalam PIPP 2006-2010, tidak  tertinggal golongan anak-anak kurang upaya (OKU)
yang juga berada dalam sistem pendidikan negara. Anak-anak OKU yang terdiri
daripada OKU pekak, OKU penglihatan, OKU bermasalah pembelajaran dan OKU anggota
seharusnya golongan yang turut sama mengharungi arus perubahan sistem pendidikan
negara.  Golongan OKU tidak seharusnya dipinggirkan dalam apa jua perubahan
dalam sistem pendidikan negara.  Mereka adalah rakyat Malaysia yang akan
mengharungi kehidupan dalam kelompok masyarakat majmuk.  Modal insan mereka
perlu dibangunkan dan dipenuhi supaya dapat menjadi sebagai bangsa yang berguna
dalam negara sebagaimana mereka yang berada di arus perdana.  Anak-anak OKU
seharusnya boleh hidup dan boleh diterima sebagai bangsa Malaysia bukan sebagai
bangsa yang tersisih dan terpinggir.  Anak-anak OKU seharusnya tidak lagi
dianggap sebagai golongan masyarakat insentif.  Malah guru-guru yang mendidik
golongan ini juga terdiri daripada kalangan guru insentif.  Insentif dalam
ertikata,  dibayar elaun insentif khas kerana mengajar OKU, mengajar bilangan
murid yang paling minimum dalam satu kelas dan diberi peluang untuk
menlaksanakan sistem yang boleh disesuaikan selaras dengan kecacatan anak-anak
OKU.  Adalah menjadi tanggung jawab KPM untuk memberikan ruang kepada golongan
OKU bagi menikmati sistem pendidikan negara, bukan sekadar melaksanakan simpati
terhadap golongan itu.  Sehingga menjadikan golongan OKU terdiri daripada
masyarakat kebajikan tanpa menilai impak kehidupan mereka bila berada di dalam
masyarakat.  Untuk membangunkan keinsanan golongan OKU mereka perlu diberikan
modal.  Modalnya adalah pendidikan yang sesuai untuk mereka.  Hampir setengah
abad sistem pendidikan untuk golongan OKU telah berjalan di negara kita, tapi
sejauhmanakah modal insan untuk mereka telah dipenuhi?

Transformasi Pendidikan, Pendidikan Khas
Selaras dengan perubahan dalam sistem pendidikan maupun transformasi dalam
kurikulum pendidikan, pendidikan untuk golongan OKU perlu selari dengan golongan
anak-anak di arus perdana.  Sistem pendidikan khas di Malaysia seharusnya tidak
lagi berada di takuk lama.  Kalau selama ini anak-anak OKU berada di tahap kelas
ketiga disebabkan oleh ketidakmampuan mereka menguasai akademik, stigma ini
perlu berubah.  Segala perubahan ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh.
Kalau OKU pekak gagal dalam akademik disebabkan ketidakmampuan menguasai bahasa,
mesti difikirkan cara untuk mengatasinya.  Kerajaan telah berbelanja jutaan
ringgit bagi membiayai keperluan pemerolehan bahasa untuk anak OKU pekak.
Guru-guru telah dihantar untuk menjalani latihan kemahiran pakar audiologi dan
jurupulih pertuturan. Pusat-pusat perkhidmatan pendidikan khas yang lengkap
dengan peralatan telah dibina; perjawatan guru pertuturan juga telah diwujudkan
dan elaun insentif telahpun diberi kepada guru yang mengajar OKU.  Tapi majoriti
anak-anak OKU pekak masih lagi di tahap lama, tiada bahasa.  Namun begitu ada
juga terdapat guru-guru yang benar-benar berusaha memanfaatkan bayaran insentif
RM250.00 dengan mendidik anak-anak OKU pekak sehingga berjaya ke peringkat IPTA,
IPTS dan IPGM.  Tidak menghairankan kini telah ada OKU pekak jadi cikgu, jadi
chef, jadi pelukis pelan, dan jadi pelukis grafik.  KPM seharusnya meletakkan
guru-guru yang telah dilatih dengan kepakaran audiologis dan jurupulih
pertuturan ini di sekolah-sekolah dan program pendidikan khas pekak.  Kalau
tidak kerajaan hanya membazirkan wang rakyat membiayai latihan kepada guru tapi
tidak dapat digunakan kepakaran di tempat yang sesuai.
Begitu juga dengan anak OKU penglihatan.  Sejarah telah membuktikan bahawa
anak-anak OKU penglihatan boleh berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan.
Kejayaan anak-anak OKU penglihatan memang terserlah.  Tidak hairan kalau di
Malaysia OKU penglihatan boleh menjadi Professor, Penasihat Ekonomi kerajaan,
menjadi peguam dan menjadi pendidik yang berjaya.  Malah ada OKU penglihatan
menjadi pendidik mengajar anak-anak normal di arus perdana.  Hanya KPM belum
berkeyakinan untuk memberikan jawatan di peringkat penggubal dasar pendidikan.
Di Jabatan Pendidikan Khas, KPM pun masih belum berkeyakinan untuk memberi
peluang OKU Penglihatan menjawat jawatan walaupun sebagai operator telefon.
Dibanding dengan negara-negara maju seperti Jepun, pengalaman berada di negara
Jepun berbeza kalau Pensyarah universiti dan Kolej Peguruan ramai kalangan OKU
penglihatan.  Amat menkjubkan bilamana seorang Professor Sains Anatomi di
universiti, yang OKU penglihatan, berulang alik dari Yokohama ke Tokyo setiap
hari dengan menaiki kereta api laju tanpa pembantu.  Terdapat juga OKU
penglihatan yang berjawatan Doktor  menjadi Ketua Jabatan Sains di sebuah
Universiti Pendidikan. Malah ramai yang bergelar Doktor yang mengendalikan pusat
atau klinik terapi kesihatan sebagai juru urut dan juru refleksologi secara
profesyenal.  Di Malaysia mungkin kita boleh berbangga dengan Allahyarham
Professor Dr. Ismail Salleh seorang OKU penglihatan yang telah menempa kejayaan
dalam hidup.
Sebenarnya OKU penglihatan kurang menghadapi masalah dalam sistem pendidikan
formal bersama anak-anak normal di arus perdana.  Dengan adanya teknologi moden
yang mudah di dapati sekarang OKU penglihatan tidak menghadapi masalah untuk
menerima pendidikan formal.  Apa yang perlu adalah sedikit penyesuaian perlu
dilakukan kepada kurikulum untuk anak-anak OKU penglihatan.  Perlu ada dalam
sistem pendidikan untuk OKU penglihatan mata pelajaran seperti Pendidikan
Transkripsi Braille, Pendidikan Seni Visual Suaian, Pendidikan Jasmani Suaian,
Pendidikan Orientasi dan Mobiliti, Pendidikan Sains Suaian, Kemahiran Hidup
Suaian dan Pendidikan Muzik.  Adalah lebih baik kalau Kemahiran Juru Urut, Juru
Refleksologi dan Fisioterapi diwujudkan dalam sistem pendidikan kebangsaan untuk
diikuti oleh anak-anak OKU penglihatan.  Ilmu dan kepakaran ini amat memberi
munafaat kepada OKU penglihatan. Mata-mata pelajaran ini masih belum lagi diberi
perhatian sejak berkurun pendidikan OKU penglihatan berjalan di Malaysia.
Kemungkinan dengan adanya transformasi pendidikan untuk golongan OKU penglihatan
memberi ruang untuk melakukan perubahan yang lebih jitu dalam keperluan
kurikulum yang sesuai. Kita tidak lagi dapat melihat OKU penglihatan mengemis di
tempat-tempat awam, di kedai-kedai makan dan di gedung-gedung besar di
bandar-bandar dengan menjual tisu.  Cukuplah mereka menjadi pemuzik jalanan,
tetapi mereka mempunyai kemahiran yang sukar dikuasai oleh orang normal
sendiri.
Mengimbau kembali sistem pendidikan OKU masalah pembelajaran merupakan sistem
yang paling muda dilaksanakan di negara ini.  Selama ini pendidikan untuk
golongan ini dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui Badan-badan
Bukan Kerajaan seperti KIWANIS, Persatuan Autisme, Persatuan Sindrom Down,
Persatuan Kanak-kanak terencat akal dan lain-lain Ngos.  Walaupun telah berjalan
hampir suku abad, pelaksanaannya masih kurang mantap. Malah konotasi bagi
masalah pembelajaran itu sendiri masih kabur di kalangan semua pihak.  Adakah ia
hendak diinterpretasi berdasarkan kecacatan yang dihadapi atau masalah
pembelajaran yang dihadapi oleh murid itu?. Kalau di negara maju kita lihat ada
kelas untuk anak OKU down sindrom, kelas untuk OKU autistik dan kelas untuk OKU
terncat akal.  Kelas untuk golongan ini diasingkan mengikut kategori, tidak
dilonggokkan dalam satu kelas sebagaimana di Malaysia.  Sindrom down, autisme,
terencat akal dilambak dalam satu kelas.  Bayangkan bagaimana seorang cikgu
pendidikan khas hendak  menangani satu kelas yang terdiri pelbagai kategori.
Akhirnya cikgu tidak lagi mendidik  sebaliknya menjadi pengasuh dari jam 7.30
pagi hingga 12.30 tengahari.  Malah anak-anak autisme atau down sindrom yang
berpotensi untuk belajar terpinggir.
Kurikulum OKU masalah pembelajaran di Malaysia cukup gah. Kalau murid sekolah
rendah aliran perdana belajar lapan subjeks tapi anak OKU belajar berbelas mata
pelajaran. Begitu lah hebatnya anak OKU masalah pembelajaran di Malaysia.
Akhirnya anak-anak OKU ini tak tentu hala tujunya.    Sukatan pelajaran untuk
OKU bermasalah pembelajaran dibangunkan seolah-olah anak-anak ini tidak akan
berlaku perkembangan dalam memperoleh ilmu.  Sebab itu kurikulum untuk golongan
ini kerap dianggap tidak mempunyai kualiti dan standard.  Standard kandungan dan
standard pembelajarannya sama sahaja untuk sekolah rendah dan menengah.  Kalau
belajar mata pelajaran teknologi maklumat sampai ke tua tidak mempunyai
peningkatan.  Cuba bayangkan seorang murid autistic atau sindrom down hanya
belajar memegang tetikus dari umur 7 tahun hingga 19 tahun. Bagaimana anak-anak
OKU bermasalah pembelajaran hendak berkembang dalam pembelajaran.  Di rumah pula
mereka dah mampu menggunakan laman facebook.  Sebab itu, ramai dalam kalangan
pendidik anak OKU bermasalah pembelajaran enggan menggunakan kurikulum
pendidikan khas yang dibangunkan oleh pihak KPM sendiri, malah badan-badan NGOs
yang menjalankan pendidikan golongan OKU sendiri tidak menggunakan Kurikulum
yang dibangunkan oleh KPM.  Standardnya terlalu rendah dan langsung tidak
memberikan apa-apa impak terhadap perkembangan pembelajaran. Kalau terdapat
anak-anak OKU autistik yang berpotensi untuk mengikuti akademik, peluangnya
dinyahkan dan dipaksa untuk mengikuti kurikulum Masalah Pembelajaran hingga ke
tua.  Impaknya ibu bapa kepada anak-anak OKU masalah pembelajaran keciwa, kerana
anak-anak mereka tidak memperoleh apa-apa setelah bertahun-tahun berada di
sekolah atau program pendidikan khas kendalian KPM.
Apa perubahan atau tranformasi yang dilakukan oleh KPM untuk merealisasi
kurikulum pendidikan khas supaya ia benar-benar memberikan munafaat kepada
anak-anak OKU dan boleh diletakkan di persada dunia?  Bagi guru pendidikan khas
yang kreatif dan berani, cuba melaksanakan aktiviti vokasonal kepada anak-anak
OKU pembelajaran.  Sekurang-kurangnya ada impaknya kepada anak-anak OKU dengan
berbekalkan kemahiran apabila keluar dari alam persekolahan.
Khabar kini tersebar luas melalui tranformasi pendidikan, pendidikan khas kini
dalam usaha merubah paradigmanya. Sistem Pendidikan Khas di Malaysia akan keluar
daripada kepongpong stigma pinggiran. Satu bentuk sistem yang dapat membangunkan
modal insan telah dijana bagi melahirkan negara bangsa yang berfaedah dalam
pembangunan negara.  Selaras dengan itu, satu bentuk kurikulum yang komprehensif
perlu dibangunkan dengan kerjasama pakar-pakar, NGOs dan para pendidikan yang
komited dan berpengalaman.

Keliru Antara PPI, RPI, RTI
Sistem pendidikan khas seharusnya tidak melencong jauh daripada sistem
pendidikan khas di dunia.  Kalau di peringkat dunia mengikhtiraf teknik dan
pendekatan melalui Rancangan Pendidikan Individu (RPI) dan Rancangan Transisi
Individu (RTI), mengapa sistem pendidikan khas di Malaysia kurang
memunafaatkannya?. Peranan Rancangan Pendidikan Individu sekadar dokumen bagi
tujuan pemantauan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).  Itu pun kerana
adanya Pekeliling Ikhtisas yang perlu dipatuhi. Tanggungjawab dalam menangani
pelakasanaan sistem pendidikan untuk golongan OKU perlu di selaraskan di
peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia.  Apa yang berlaku kini, pelbagai pihak
berusaha menonjolkan identiti untuk membentuk dan melaksanakan satu-satu
perancangan.  Contoh yang jelas berlaku ketika ini, apabila satu pihak cuba
menghasilkan Pelan Pendidikan Individu (PPI), satu pendekatan berbentuk
pengakalan data dalam menyediakan perancangan pengajaran dan pembelajaran untuk
OKU pendidikan Khas, di satu pihak yang lain pula cuba menghasilkan Rancangan
Pendidikan Individu (RPI) yang merupakan dokumen bagi perancangan proses
pengajaran dan pembelajaran untuk golongan OKU.  Malah satu pihak yang lain pula
cuba membangunkan key-stages yang merupakan satu perancangan pelajaran
berdasarkan penanda aras pencapaian anak OKU.
Amat menghairankan ketiga-tiga program ini dikendalikan oleh tiga pihak yang
berbeza dan yang berkepentingan terhadap pendidikan OKU di Kementerian Pelajaran
Malaysia sendiri.  RPI dibangunkan oleh Bahagian Pendidikan Khas, PPI
dibangunkan oleh Bahagian Perancangan Dasar dan Penilaian Pendidikan, manakala
key-stages dibangunkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum.  Seandainya
terlaksana ketiga-tiga program tersebut, yang mana satu hendak digunakan oleh
guru-guru pendidikan khas di sekolah di bawah kendalian Kementerian Pelajaran.
Kalau ketiga-tiganya diwartakan dalam Dasar Pendidikan Khas, maka pendidik wajib
melaksanakannya.  Sudah pasti akan berlaku kecelaruan perlaksanaan dalaam
kalangan guru-guru pendidikan khas di sekolah.  Mengapa tidak ada kolaborasi
antara ketiga-tiga bahagian dalam usaha memertabatkan pendidikan khas di
Malaysia.  Apa yang berlaku, bak kata pepatah, bagaikan enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing.  Entah berapa banyak wang kerajaan dibelanjakan
untuk membangunkan satu-satu program yang akhirnya tidak dapat memberi munafaat
kepada anak-anak OKU.  Anak-anak OKU masih tetap di takuk lama.  Kalau
dibandingkan perancangan yang dibuat oleh Ngos untuk anak-anak OKU, adalah lebih
tersusun dan meyakinkan.  Dunia Pendidikan khas mengikhtiraf penggunaan RPI dan
Rancangan Transisi Individu(RTI) yang banyak digunapakai oleh program pendidikan
khas kendalian Ngos, malah di negara-negara luar. Seharusnya sektor dasar dan
penilaian pendidikan khas menilai apa yang telah dilaksanakan oleh pihak Ngos
dan seandainya dapat bekerjasama dengan pihak terbabit adalah lebih bermunafaat.
Dari segi kepakaran dalam melaksanakan program pendidikan khas pihak NGOs adalah
lebih tinggi berbanding dengan KPM walaupun KPM sendiri ramai pegawai dan guru
yang memegang MA dan PHD dalam bidang pendidikan khas, namun ia hanya sekadar
lambang prospek guru dan pegawai dan tidak dapat di jana demi untuk pendidikan
khas di Malaysia.

Apa itu Dokumen Standard dan Key Stage?
Selaras dengan perubahan dalam transformasi pendidikan, khususnya dalam bidang
kurikulum, seharusnya pendidikan khas juga turut sama dalam melaksanakan
transformasi. Mungkin akan berlaku beberapa perubahan dalam kurikulum pendidikan
khas.  Apa yang mengeciwakan,  sekolah-sekolah dan program pendidikan khas
meminggirkan diri.  Hanya tunggu dan lihat apa yang berlaku di aliran perdana.
Sekolah dan program OKU buta dan pekak tetap terpinggir daripada aktiviti
perlaksanaan program transformasi.  Setakat ini murid OKU pekak dan buta
langsung tidak terlibat secara menyeluruh dalam perancangan tranformasi.  Mereka
dialunkan dengan lagu mereka sendiri.  Ini jelas bila mana bidang OKU pekak
hanya merintis empat mata pelajaran sahaja untuk tahun satu, bidang OKU buta
hanya merintis dua subjek baru sahaja.  Apa jadi dengan mata-mata pelajaran yang
lain.  Adakah mata pelajaran teras seperti Sains, Matematik, Agama, Pendidikan
Jasmani, Bahasa Melayu tidak perlu dirintis untuk melihat akan kesesuaian dan
keberkesanannya kurikulumnya kepada OKU pekak dan buta?  Adakah Kurikulum
duplikasi OKU masalah pembelajaran sahaja yang perlu dirintis?
Kini satu lagi masalah timbul, kalau telah dibangunkan Dokumen Kurikulum
Standard Pendidikan Khas berserta dengan Modul Pengajaran dan Pembelajaran,
mengapa masih hendak dibangunkan key-stages.  Apa yang jelas, kefahaman terhadap
maksud key-stages pun masih kabur dalam kalangan pihak yang membangunkannya.
Adakah ia merupakan konten pengajaran dan pembelajaran atau ia merupakan satu
proses mentaksir kemenjadian anak-anak OKU?  Akan berlaku lagi kecelaruan
perlaksanaan sama ada ingin mengikut Dokumen Standard yang telah dibangunkan
dengan modal ratusan ribu ringgit atau key-stage yang dibangunkan berlandaskan
Dokumen standard.  Apa yang telah terjadi di program pendidikan khas masalah
pembelajaran pada tahun-tahun kebelakangan akan berlaku lambakan buku-buku
dokumen standard, modul pengajaran dan pembelajaran, bku garis panduan
pengajaran dan pembelajaran, buku teks dan buku-buku dokumen key-stage, sehingga
membingungkan guru pendidikan khas sehingga tak tahun nak guna dan hendak
dirujuk. Adalah lebih baik satu badan penyelaras dan pengkaji tentang sistem
pendidikan khas yang meliputi semua bidang perlu diwujudkan di KPM.  Anggotanya
harus terdiri daripada kalangan mereka yang betul-betul memahami tentang
pendidikan khas dari sudut pengetahuan dan pengalaman.  Bukan daripada kalangan
mereka yang hanya ingin menjadi wira dan wirawati pendidikan khas di Kementerian
Pelajaran Malaysia.  Badan ini berperanan untuk mengkaji, menilai dan
mencadangkan semua aspek keperluan pendidikan kepada golongan OKU agar menepati
misi dan visi untuk membangunkan modal insan dalam kalangan OKU. - petikan dari catatan Guru Lama
Seberang Prai Tengah,Penang untuk berita-harian-online.com


Malaysia secara rasmi jadi pusat serantau pendidikan khas

CEBU 27 Jan. - Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45 yang berlangsung di sini hari ini bersetuju menubuhkan sebuah pusat serantau mengenai pendidikan khas (SEAMEO SEN) di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pusat serantau itu ketika ini sudah pun beroperasi secara sementara di Melaka.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran menambah, pusat serantau tetap pula akan dibina di Nilai, Negeri Sembilan dalam masa terdekat dengan semua perbelanjaan dibiayai oleh Malaysia.
"Pusat itu yang pertama seumpamanya di rantau ini akan memberi tumpuan kepada penyediaan pelbagai kemudahan pendidikan khusus kepada pelajar-pelajar istimewa,'' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas tamat salah satu sesi perbincangan yang dihadiri beliau di sini, sempena SEAMEC ke-45.
Cadangan pembinaan SEAMEO SEN itu sudah pun dipersetujui ketika Persidangan SEAMEC ke-44 di Phuket, Thailand tahun lalu dan dibawa ke persidangan kali ini bagi membolehkan dua dokumen penting ditimbang dan diluluskan sebelum Malaysia secara rasmi menubuhkannya.
Dua dokumen penting itu ialah perjanjian persefahaman (MoA) dan instrumen penstrukturan.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin memberitahu, Malaysia sependapat dengan Singapura, Filipina dan Vietnam untuk memberi lebih perhatian kepada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di negara masing-masing.
Beliau berkata, persetujuan menyediakan gabungan pakar yang boleh dikongsi oleh negara anggota terutamanya di kalangan empat negara ini juga berjaya dicapai sewaktu berlangsungnya pertemuan dua hala dengan negara-negara tersebut.
"Kerjasama dalam bahasa Inggeris ini ditekankan kerana kita berdepan dengan masalah yang hampir sama iaitu kekurangan guru bahasa Inggeris yang terlatih.
"Malah, perkara ini sebenarnya merupakan fenomena dunia kerana tuntutan untuk mempelajari bahasa Inggeris meningkat dengan mendadak termasuk di China,'' ujar beliau.
Muhyiddin menambah, perhatian negara terhadap pembelajaran bahasa Inggeris itu sebenarnya selari dengan dasar yang diumumkan kerajaan iaitu memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris yang akan dimulakan tidak lama lagi. - petikan utusan online.