berpotensi menjadi orang yang berjaya |
Ini kerana setiap manusia perlu belajar mengenai sesuatu perkara terlebih dulu sebelum mahir ataupun memahami kepentingannya kerana ia satu pengalaman hidup yang akan sentiasa dilalui dan dipelajari malah, ia tidak akan terhenti dengan begitu saja.
Menurut Pakar Psikologi Pembangunan Kanak-Kanak yang kini berkhidmat dengan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Ignatius Lee Kuan Beng, walaupun perkembangan pembelajaran kanak-kanak autisme ini agak perlahan tetapi mereka masih mampu untuk berdikari.
Menurutnya, ramai beranggapan golongan autisme tidak memiliki perasaan disebabkan mereka tidak mengetahui cara meluahkannya, tetapi ia tidak benar sama sekali.
anak autisme anak yang istimewa...jangan abaikan mereka |
“Berbanding manusia normal golongan autisme ini memiliki sentuhan perasaan paling banyak.
“Mereka tidak pernah menyembunyikan perasaan sebenar dan akan meluahkannya melalui cara yang diketahui walaupun pada hakikatnya cara digunakan itu agak keterlaluan bagi masyarakat yang tidak memahami permasalahan dihadapi kanak-kanak autisme ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Program Intervensi Aurisme Nasom, Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Di samping itu, tanggapan masyarakat terhadap golongan ini perlu diubah dan memberi lebih banyak peluang kepada mereka untuk berjaya dalam kehidupan.
Jangan sesekali menyisihkan mereka disebabkan kekurangan yang dialami kerana mereka juga boleh membantu tetapi bergantung kepada kemahiran tersendiri.
Ignatius berkata, kebiasaannya penghidap sindrom Asperger (autisme bersifat sederhana) adalah golongan berupaya untuk berjaya kerana mereka boleh bekerja seperti orang lain tetapi terdapat aspek tertentu seperti kekurangan kemahiran sosial yang membezakan mereka dengan orang lain.
“Mereka perlu diberi peluang memperoleh kehidupan seperti orang normal kerana boleh melaksanakan tugas diberikan tetapi cara atau pendekatan yang digunakan agak berbeza.
“Janganlah kita mengasingkan mereka kerana beranggapan individu yang memiliki autisme ini tidak boleh melakukan sebarang kerja kerana hasil yang ditunjukkan mungkin lebih berbanding individu biasa,” katanya.
Baginya, sepanjang lima tahun berkecimpung dalam bidang ini banyak boleh dipelajari daripada kanak-kanak ataupun remaja autisme yang mengingatkan kita walaupun mereka tidak sempurna tetapi nilai perhubungan yang diterapkan amat tinggi.
“Walaupun mereka seolah-olah hanya hidup untuk masa kini saja bukan demi masa depan tetapi kanak-kanak atau remaja ini tidak tahu berdendam dan sangat mudah untuk memaafkan.
“Saya terharu dengan ketulusan ditunjukkan golongan ini dan ia memberikan saya satu matlamat hidup baru untuk terus berkhidmat bagi mereka,” katanya.
Sementara itu, Profesor Madya/Ketua Unit Psikologi Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Alvin Ng Lai Oon, berkata kanak-kanak autisme pada dasarnya mempunyai kesukaran yang signifikan dalam tiga kategori kemahiran hidup iaitu kemahiran bersosial dan kefahaman sosial, berkomunikasi dan kebolehan untuk menyesuaikan diri pada keadaan berbeza daripada apa yang lazim pada mereka.
Dengan kekurangan ini, kanak-kanak autisme menghadapi cabaran yang amat besar dalam kehidupan harian sebab mereka kekurangan kemahiran asas untuk bergaul dan belajar terutama berunsur sosial seperti perbualan, berkawan dan menjalin hubungan yang bermakna.
Malah, ibu bapa yang memiliki anak autisme turut mengalami tekanan psikologi yang amat berat sehingga mengakibatkan ketegangan berlaku di antara pasangan lalu meningkatkan risiko merosakkan hubungan mereka.
“Tidak dinafikan ibu bapa menganggap bukan senang untuk menjaga kanak-kanak autisme kerana kelakuan mereka berlainan sama sekali dengan kanak-kanak biasa dan lebih hyper aktif.
“Di tambah pula dengan tekanan tempat kerja dan persekitaran menambahkan lagi bebanan ditanggung ibu bapa terutama ibu berkerjaya yang perlu menyeimbangkan masa antara keluarga dan masalah pejabat,” katanya.
Bagaimanapun Alvin berkata, kebanyakan tanggapan negatif yang dimaksudkan ialah tanggapan ibu bapa itu sendiri, dan bukan daripada masyarakat.
“Ibu bapa perlu aktif dalam mencari bantuan kerana autisme boleh diatasi dengan pengajaran yang intensif dalam kemahiran tingkah laku adaptif asas,” katanya.
petikan : hmetro.com.my