Search This Blog

banner

I made this widget at MyFlashFetish.com.

address

Sep 11, 2012

Usah anggap anak istimewa satu hukuman

IBU BAPA jangan sesekali beranggapan memiliki anak yang mengalami masalah autisme sebagai satu hukuman mati yang tidak mampu dilalui.
berpotensi menjadi orang yang berjaya
Kanak-kanak ini masih lagi boleh berfungsi seperti insan biasa sungguhpun komunikasi mereka mengalami gangguan dan kurang memberangsangkan kerana ia boleh diatasi dengan proses pembelajaran.

Ini kerana setiap manusia perlu belajar mengenai sesuatu perkara terlebih dulu sebelum mahir ataupun memahami kepentingannya kerana ia satu pengalaman hidup yang akan sentiasa dilalui dan dipelajari malah, ia tidak akan terhenti dengan begitu saja.

Menurut Pakar Psikologi Pembangunan Kanak-Kanak yang kini berkhidmat dengan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Ignatius Lee Kuan Beng, walaupun perkembangan pembelajaran kanak-kanak autisme ini agak perlahan tetapi mereka masih mampu untuk berdikari.

Menurutnya, ramai beranggapan golongan autisme tidak memiliki perasaan disebabkan mereka tidak mengetahui cara meluahkannya, tetapi ia tidak benar sama sekali.
anak autisme anak yang istimewa...jangan abaikan mereka





“Berbanding manusia normal golongan autisme ini memiliki sentuhan perasaan paling banyak.

“Mereka tidak pernah menyembunyikan perasaan sebenar dan akan meluahkannya melalui cara yang diketahui walaupun pada hakikatnya cara digunakan itu agak keterlaluan bagi masyarakat yang tidak memahami permasalahan dihadapi kanak-kanak autisme ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Program Intervensi Aurisme Nasom, Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Di samping itu, tanggapan masyarakat terhadap golongan ini perlu diubah dan memberi lebih banyak peluang kepada mereka untuk berjaya dalam kehidupan.

Jangan sesekali menyisihkan mereka disebabkan kekurangan yang dialami kerana mereka juga boleh membantu tetapi bergantung kepada kemahiran tersendiri.

Ignatius berkata, kebiasaannya penghidap sindrom Asperger (autisme bersifat sederhana) adalah golongan berupaya untuk berjaya kerana mereka boleh bekerja seperti orang lain tetapi terdapat aspek tertentu seperti kekurangan kemahiran sosial yang membezakan mereka dengan orang lain.

“Mereka perlu diberi peluang memperoleh kehidupan seperti orang normal kerana boleh melaksanakan tugas diberikan tetapi cara atau pendekatan yang digunakan agak berbeza.

“Janganlah kita mengasingkan mereka kerana beranggapan individu yang memiliki autisme ini tidak boleh melakukan sebarang kerja kerana hasil yang ditunjukkan mungkin lebih berbanding individu biasa,” katanya.

Baginya, sepanjang lima tahun berkecimpung dalam bidang ini banyak boleh dipelajari daripada kanak-kanak ataupun remaja autisme yang mengingatkan kita walaupun mereka tidak sempurna tetapi nilai perhubungan yang diterapkan amat tinggi.

“Walaupun mereka seolah-olah hanya hidup untuk masa kini saja bukan demi masa depan tetapi kanak-kanak atau remaja ini tidak tahu berdendam dan sangat mudah untuk memaafkan.

“Saya terharu dengan ketulusan ditunjukkan golongan ini dan ia memberikan saya satu matlamat hidup baru untuk terus berkhidmat bagi mereka,” katanya.

Sementara itu, Profesor Madya/Ketua Unit Psikologi Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Alvin Ng Lai Oon, berkata kanak-kanak autisme pada dasarnya mempunyai kesukaran yang signifikan dalam tiga kategori kemahiran hidup iaitu kemahiran bersosial dan kefahaman sosial, berkomunikasi dan kebolehan untuk menyesuaikan diri pada keadaan berbeza daripada apa yang lazim pada mereka.

Dengan kekurangan ini, kanak-kanak autisme menghadapi cabaran yang amat besar dalam kehidupan harian sebab mereka kekurangan kemahiran asas untuk bergaul dan belajar terutama berunsur sosial seperti perbualan, berkawan dan menjalin hubungan yang bermakna.

Malah, ibu bapa yang memiliki anak autisme turut mengalami tekanan psikologi yang amat berat sehingga mengakibatkan ketegangan berlaku di antara pasangan lalu meningkatkan risiko merosakkan hubungan mereka.

“Tidak dinafikan ibu bapa menganggap bukan senang untuk menjaga kanak-kanak autisme kerana kelakuan mereka berlainan sama sekali dengan kanak-kanak biasa dan lebih hyper aktif.

“Di tambah pula dengan tekanan tempat kerja dan persekitaran menambahkan lagi bebanan ditanggung ibu bapa terutama ibu berkerjaya yang perlu menyeimbangkan masa antara keluarga dan masalah pejabat,” katanya.

Bagaimanapun Alvin berkata, kebanyakan tanggapan negatif yang dimaksudkan ialah tanggapan ibu bapa itu sendiri, dan bukan daripada masyarakat.

“Ibu bapa perlu aktif dalam mencari bantuan kerana autisme boleh diatasi dengan pengajaran yang intensif dalam kemahiran tingkah laku adaptif asas,” katanya.
 petikan : hmetro.com.my

Ringkasan Aktiviti Perpustakaan Mini sepanjang tahun 2012

JULAI 2012

1)AKTIVITI       :  KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG
   TARIKH         : 16 JULAI 2012
   MASA            :  7.30 - 9.50 pagi
   PENGELOLA :  PANITIA PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN
   OBJEKTIF     :  1. MENGUKUR KEBOLEHAN MURID DALAM MELAKSANAKAN ARAHAN
                             2. MEMBERI PENGETAHUAN TENTANG JAGUH-JAGUH SUKAN MALAYSIA.
   PESERTA      :  1. PK SMART
                            2. PK WISE
                            3. PK CLEVER
                            4. PK INTELLIGENT
                            5. PK BRILLIANT
                            6. PK GENIUS

2)AKTIVITI       :  KUIZ SPONTAN ( SEJARAH PERDANA MENTERI MALAYSIA )
   TARIKH          :  17 JULAI 2012
   MASA             :  8.20 - 9.20 pagi
   PENGELOLA :  PANITIA SAINS SOSIAL DAN ALAM SEKITAR              
  OBJEKTIF       : 1) MEMBERI PENGETAHUAN TENTANG SEJARAH MALAYSIA
                             2) MEMANTAPKAN MUTU EJAAN MURID
  PESERTA        : 1) PK SMART
                            2) PK WISE
                            3) PK CLEVER
                            4) PK INTELLIGENT
                            5) PK BRILLIANT
                            6) PK GENIUS

 3) AKTIVITI       : PERTANDINGAN PERMAINAN DALAMAN ( PERMAINAN CONGKAK )
     TARIKH         : 30 JULAI 2012
     MASA            : 10.20 - 12.20 TENGAHARI
     PENGELOLA : SEMUA GURU PENDIDIKAN KHAS
     OBJEKTIF     :  1) MEMPERKENALKAN SALAH SATU PERMAINAN TRADISIONAL
                                  MELAYU
                               2) MEMANTAPKAN DAYA PENGAMATAN DAN KEMAHIRAN
                                  MANIPULATIF MURID
                               3) MENJANA IQ MURID AGAR PEKA DAN BERTINDAKBALAS
                                  TERHADAP SESUATU RANGSANGAN
     PESERTA      : SEMUA MURID PENDIDIKAN KHAS



 4) AKTIVITI       : REKACIPTA - MENGHASILKAN PERMAINAN SUKAN RAKYAT ( WAU )
     TARIKH         :  31 JULAI 2012
     MASA            :  10.20 - 11.20 pagi
     PENGELOLA :  GURU - GURU PENDIDIKAN SENI VISUAL
     OBJEKTIF     :   1) MEMPERKENALKAN SALAH SATU PERMAINAN TRADISIONAL
                                   MELAYU
                                2) MENGGARAP RASA CINTAKAN KHAZANAH BUDAYA BANGSA
                                   KEPADA MURID
                               3) MENGGALAKKAN MURID MENTERJEMAHKAN IDEA DAN
                                   KREATIVITI MASING - MASING
    PESERTA       :   SEMUA MURID PENDIDIKAN KHAS





  
  



Aug 13, 2012

Risiko hamil lewat usia


PERTUMBUHAN lambat, kesukaran belajar dan bertutur, berkeadaan lembik ketika lahir serta tumbesaran terbantut pada peringkat bayi dan kanak-kanak. Itu antara ciri penyakit Sindrom Down iaitu kecacatan kromosom bercirikan kehadiran bahan genetik salinan tambahan pada kromosom 21 manusia, sama ada keseluruhan (trisomi 21) atau sebahagian (disebabkan translokasi kromosom).
Penyakit ini juga dikenali sebagai Trisomy 21. Kanak- kanak terbabit lahir dengan ciri-ciri fizikal serta boleh mempunyai masalah kesihatan lain. Sindrom bermakna kehadiran sekumpulan gejala dan tanda yang boleh menunjukkan kepada sesuatu penyakit.
Ia bersempena nama doktor Britain, John Langdon Down yang pertama menggambarkannya pada 1866. Penyakit ini biasanya boleh dikenalpasti pada awal kelahiran bayi. Kebarangkalian Sindrom Down dianggarkan sekitar satu setiap 800 atau satu setiap 1,000 kelahiran.

Menurut Pakar Obstetrik dan Sakit Puan Pusat Perubatan Taman Desa, Dr Ng Cheong Keat, banyak ciri fizikal biasa boleh dilihat kepada pesakit Sindrom Down, antaranya mempunyai set kromosom piawaian.

Ini termasuk satu garisan, bukan dua, pada telapak tangan, mata berbentuk badam disebabkan lipatan epikanthik pada kelopak mata, anggota lebih pendek, otot lemah dan lidah terjulur.

“Masalah kesihatan berkait dengan penghidap Sindrom Down termasuk risiko tinggi bagi kecacatan jantung kongenital, penyakit gastroesophageal reflux, jangkitan telinga (otitis) berulang, obstructive sleep apnea dan kegagalan tiroid.

“Pengesahan penyakit ini dilakukan dengan ujian darah kanak-kanak itu bagi mengesan kehadiran kromosom tambahan kromosom nombor 21.

“Ujian juga boleh dilakukan ketika kehamilan melalui ujian darah, pemeriksaan ultrasound atau analisis cecair mentuban (amniotic fluid),” katanya, baru-baru ini.

Tambahnya, penyakit ini lebih berisiko tinggi dengan bertambahnya umur ibu sewaktu hamil. Ibu berusia 20 hingga 24, risikonya adalah 1/1490 manakala pada usia 40 tahun risikonya pula 1/60.

Pada usia ibu 49 pula risikonya adalah 1/11. Sungguhpun risiko meningkat sejajar usia ibu, 80 peratus kanak-kanak Sindrom Down dilahirkan oleh wanita di bawah usia 35 tahun, menunjukkan kesuburan keseluruhan kumpulan usia itu.

Masalah kesihatan berkaitan Sindrom Down

·  Pertumbuhan lambat, kesukaran belajar dan bertutur
·  Kanak-kanak berkeadaan lembik ketika lahir, tumbesaran terbantut di peringkat bayi dan kanak-kanak
·  Lambat atau sukar mengikuti pembelajaran
·  Lambat dalam pertuturan. Kanak-kanak ini akan mendapat faedah besar daripada program pengesanan awal, pendidikan khas dan rawatan pertuturan. Dapatkan maklumat daripada doktor atau jururawat anda mengenai kemudahan perkhidmatan pemulihan kanak-kanak berkeperluan khas yang paling hampir dengan tempat tinggal
·  Penyakit jantung kongenital. Kanak-kanak Sindrom Down biasanya lebih berisiko tinggi untuk dilahirkan dengan penyakit jantung berbanding kanak-kanak biasa. (Doktor akan membuat saringan terhadap kanak-kanak Sindrom Down untuk mengesan penyakit jantung kongenital dan merujuk untuk penilaian lanjut jika perlu. Penyakit ini mungkin memerlukan rawatan perubatan atau pembedahan)
·  Kecacatan pertumbuhan perut seperti ususl Atresia. Biasanya gejala ini dapat dikesan selepas lahir dan perlu dibedah. Walaupun jarang berlaku, kadar kejadian ini tinggi berbanding kanak-kanak biasa
·  Mudah terkena jangkitan. Imunisasi boleh diberi mengikut jadual. Segera berjumpa doktor apabila demam atau kurang sihat
·  Masalah pendengaran dan penglihatan saringan serta rawatan perlu dilakukan bergantung kepada masalah dikesan
·  Gangguan fungsi tiroid. Biasanya membabitkan pengeluaran hormon yang rendah, hipotiroid. Perlu rawatan penambahan hormon, contohnya tiroxin. Ada juga yang mempunyai pengeluaran hormon berlebihan, hipertiroid. Memerlukan rawatan untuk mengawal pengeluaran hormo
·  Barah atau kanser. Leukemia akut lebih mudah berlaku kepada Sindrom Down berbanding kanak-kanak biasa. Saringan dan rawatan perlu dibuat bergantung kepada keadaan


Pencegahan

Sebenarnya, perkara tidak normal yang berlaku pada kromosom 21 berasal daripada telur ibu. Disebabkan itu, wanita tidak digalakkan mengandung selepas berumur 40 tahun kerana risiko meningkat seandainya ibu berusia lebih 40 tahun berbanding yang lebih muda.
Secara amnya, wanita berusia 20 hingga 24 tahun mempunyai risiko 1:1500 untuk mendapat anak Sindrom Down. Bakal ibu berusia 40 tahun pula mempunyai risiko 1:60 dan akan terus meningkat kepada 1:11 bagi yang berusia 49 tahun.
Risiko mendapat anak berikutnya yang juga penghidap Sindrom Down bergantung kepada jenis kecacatan kromosom anak dan umur ibunya. Kadar risiko kejadian berulang adalah satu peratus. Tiada bukti mengaitkan Sindrom Down dengan usia bapa.
Amalan merancang keluarga antara cara mencegah daripada mengandung anak Sindrom Down.

Umur ibu (Tahun)------- Kekerapan kelahiran bayi dengan sindrom Down berbanding bayi sihat.

15 - 19------- 1 / 1250
20 - 24------- 1 / 1400
25 - 29------- 1 / 1100
30 - 31------- 1 / 900
32------- 1 / 750
33------- 1 / 625

34------- 1 / 500
35------- 1 / 350
36------- 1 / 275
37------- 1 / 225
38------- 1 / 175
39------- 1 / 140
40------- 1 / 100
41------- 1 / 85
42------- 1 / 65
43------- 1 / 50
44------- 1 / 40
45------- 1 / 25
·   Senarai menunjukkan frekuensi kelahiran bayi Sindrom Down berbanding bayi normal mengikut umur ibu

Sumber: Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan


Pemulihan

·  Pendidikan khas

·  Terapi pertuturan

·  Program intervensi

·  Terapi cara kerja

·  Latihan kemahiran

Rawatan Sindrom Down

Sehingga ini belum ada ubat yang boleh mengubati penyakit Sindrom Down. Namun, banyak kajian dilakukan yang mungkin memberi harapan pada masa depan, termasuk rawatan gen terapi dan rawatan stem sel. Kedua-dua kajian ini ternumpu kepada membaik pulih kromosom yang rosak.
Sekarang kita boleh mengumpul sel tunjang daripada darah kita dan menyimpannya untuk digunakan pada masa akan datang.
Jika berkemampuan, kita boleh menyimpannya pada masa ini dan mungkin apabila jawapan kepada pencarian rawatan Sindrom Down ditemui, kita sudah ada sel tunjang yang diperlukan.
Tujuan rawatan pemulihan ialah membantu kanak-kanak mencapai keupayaan dan perkembangan maksimum serta mampu berdikari.
Program pemulihan boleh didapati di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau pusat anjuran pertubuhan sukarela bukan kerajaan.
Maklumat lanjut boleh didapati daripada pusat sumber tempatan seperti hospital (klinik kanak-kanak), klinik kesihatan, Pejabat Kebajikan Masyarakat atau Pejabat Pendidikan (Unit Pendidikan Khas).
Kanak-kanak ini perlu didaftarkan seawal mungkin di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan. Ini bagi memudahkan ia mendapat jagaan kesihatan, kebajikan dan penempatan di sekolah khas supaya mereka mendapat pendidikan sempurna.
Doktor yang merawat perlu mengisi borang tertentu untuk memudahkan merancang program intervensi awal

petikan artikel - hmetro.com.my